Kisah Benar 'TOL' di Pan Borneo

BINTULU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (LPBS) sememangnya tidak akan ada tol kerana ia merupakan satu-satunya jalan menghubungi bandar-bandar di negeri ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, dasar kerajaan terhadap perlaksanaan tol hanyalah jika ada jalan alternatif yang dibina oleh pihak swasta selain dari jalan utama yang disediakan oleh pihak kerajaan.

"LPBS merupakan satu-satunya jalan di Sarawak, bermakna kerajaan tidak akan mengenakan sebarang tol ke atas pengguna lebuhraya."

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pelancaran Fasa Pertama Projek LPBS di Simpang Bakun, disini pagi hari ini.

"Saya harus menjelaskan perkara ini kerana khuatir sekiranya ada pihak yang mungkin akan mempersoalkan kelak mengapa LPBS tidak dikenakan tol sepertimana lebuhraya-lebuhraya yang lain di Semenanjung."

"LPBS adalah inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha menyediakan dan menaiktaraf rangkaian perhubungan yang sistematik dan cekap kepada rakyat di negeri ini," katanya lagi.

"Saya sedar, rakyat Sarawak telah menanti projek in selama 50 tahun dan kini, ianya telah menjadi kenyataan," kata Najib lgi sambil menambah, LPBS bakal membawa satu ledakan perubahan yang cukup besar kepada Sarawak, bukan saja dalam konteks pembangunan, bahkan juga sosio-ekonomi rakyatnya.

Projek mega LPBS membabitkan jarak sejauh 1,076 kilometer dan kos RM15 bilion merangkumi lebuh raya empat lorong berkategori 'R5' yang dijangka siap menjelang 2023 adalah projek infrastruktur terbesar yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan untuk melanjakkan agenda transformasi rakyat.

Dalam majlis yang sama, Najib juga memberi jaminan kontraktor tempatan diberi keutamaan untuk mengambil bahagian dalam projek ini dan seramai 75 syarikat perunding pembinaan tempatan Sarawak yang bakal bekerjasama dalam projek LPBS diperkenalkan.

Fasa kedua pelancaran projek LPBS dijadualkan akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat.

Pengumuman pelancaran LPBS adalah projek yang sememangnya dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak, khususnya mereka yang sering menggunakan jalan tersebut selama ini.

LPBS memendekkan tempoh perjalanan, memberi lebih keselesaan bagi pengguna dan dapat menggerakkan lagi banyak kemudahan lain terutama dari sektor perkhidmatan, perlancongan dan sebagainya, termasuk mewujudkan bandar-bandar baru di sepanjang lebuhraya tersebut.

Pada fasa 1, syarikat konsesi tersebut akan membina jalan sepanjang 919km (R5 - empat lorong dua hala); Nyabau ke Bakun 43km (R5 - empat lorong dua hala), Tanjung Dato ke Sematan 40km (R3 - dua lorong dua hala), Sematan ke Miri 740km (R5 - empat lorong dua hala) termasuk fasa 2; Tadungan ke Merapok, bersempadanan Sabah sepanjang lebih kurang 96km."

Sepanjang jalan-jalan tersebut (R5 - empat lorong dua hala) akan dibina pembahagi jalan sementara "guard-rail" akan dibina pada beberapa tempat untuk keselamatan pengguna.

Beberapa kemudahan kawasan hentian rehat (R & R) dan kemudahan awam seperti kedai, tandas, tempat berehat, tempat beribadat, tempat makan dan sebagainya juga akan dibina di sepanjangang lenuhraya ini.

Projek menaiktaraf infrastruktur yang sedia ada sejak tahun 1965, adalah projek yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak dan juga Sabah serta menjadi salah satu daripada manifesto kerajaan BN pada pilihanraya yang lepas.

Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran lebih dari 12,000 penduduk setempat.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusuf dan barisan menteri-menteri persekutuan dan Sarawak. - Sarawakiana

Beranikah DAP pusat keluar PR?

KENYATAAN KETUA PEMUDA BN SARAWAK MERANGKAP KETUA PEMUDA PBB, YB DATO' SRI FADILLAH YUSOF.

Tindakan DAP Sarawak keluar dari pakatan pembangkang susulan keputusan PAS melaksanakan hukum Hudud, bukan sesuatu yang mengejutkan.

Ini kerana PAS dan DAP sejak dari dulu lagi memang tidak sehaluan dari segi perjuangan dan tidak mempunyai pandangan yang sama, sehingga menyebabkan berlakunya banyak ketidaksefahaman dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sejak dulu lagi parti pembangkang tidur sebantal tapi mimpi lain-lain. Masing-masing ada agenda tersendiri yang lebih kepada kepentingan peribadi, tanpa memikirkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.

DAP sudah lama tidak sehaluan dengan PAS dan pendapat kedua-dua parti itu banyak bercanggah, bukan sahaja melibatkan isu Hudud dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi isu-isu lain.

Percakaran sesama sendiri dalam pakatan pembangkang menyebabkan perjuangan mereka tidak boleh dipercayai, malah rakyat perlu menjadikannya sebagai iktibar dengan menolak kepimpinan mereka.

Kita juga percaya apa yang berlaku ini hanyalah lakonan pembangkang dan gimik pilihanraya, sebab DAP tahu mereka telah mengecewakan pengundi mereka setelah gagal melaksanakan janji pilihanraya mereka yang lepas.

Persoalannya sekarang mengapa DAP Pusat tidak keluar daripada pakatan sama?

Sebab utama PENIAGA takut dengan GST

'Siapa kata hanya pengguna terbeban dengan GST?’

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan pengguna sebaliknya akan menjadikan sistem percukaian negara lebih adil kepada pengguna.

Menurut Ahli Jawatankuasa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr. Asan Ali Golam Hassan, ini kerana kerajaan akan dapat memantau margin keuntungan peniaga yang sebelum ini sukar dilakukan menerusi sistem percukaian semasa.

Beliau berkata, menerusi GST, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) boleh membuat pemantauan di setiap peringkat – pengilang, pemborong, peruncit hingga ke pengguna.

“Pada masa akan datang, semua peniaga yang mendaftar GST perlu menghantar invois ke Jabatan Kastam setiap bulan. Apa yang kita boleh buat? Kita boleh nilai, kita boleh tahu, kita boleh kira harga input dia berapa, harga output dia berapa.

“Dari mana dia beli input juga kita tahu. Kemana dia jual output juga kita tahu. Bila kita tahu harga input dan output, kita boleh mengira margin keuntungan.

“Jadi pada masa akan datang, kerajaan boleh mengawal margin keuntungan yang sekarang ini sukar untuk dibuat dalam sistem cukai sekarang ini,” katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Dr. Asan Ali berkata demikian ketika mengulas mengenai isu pelaksanaan GST yang dikatakan bakal membebankan pengguna.

Dalam pada itu katanya, pemantauan boleh dilaksanakan menerusi pengumpulan data oleh kerajaan yang perlu dihantar peniaga setiap bulan.

Tegasnya, ia berbeza dengan sistem cukai yang digunapakai sekarang, iaitu pemantauan hanya di peringkat pengilang yang mengenakan cukai barangan.

Katanya lagi, menerusi GST, peniaga perlu memikirkan jumlah cukai korporat yang perlu dibayar jika ingin menaikkan margin keuntungan sesuka hati.

Ia kerana, selain JKDM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga akan memainkan peranan penting bagi memastikan setiap peniaga menjelaskan cukai korporat setiap tahun.

“Apa yang kita nampak pada masa akan datang, dua (LHDN dan JKDM) entiti ini mungkin akan bergabung menjadi satu dalam jangka masa panjang.

“Jadi apa faedahnya? Faedahnya ialah jika peniaga menaikkan margin keuntungan, bukan susah nak kesan untuk peniaga berdaftar naikkan margin keuntungan sebab setiap bulan dia hantar invois.

“Jika dia (peniaga) naikkan margin keuntungan, hujung tahun Lembaga Hasil akan boleh mengira berapa banyak cukai korporat yang dia perlu bayar,” jelasnya.

Tegasnya, peniaga perlu membayar lebih banyak cukai korporat seandainya mereka menaikkan margin keuntungan.

“Itu yang akan berlaku pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Katanya, pelaksanaan GST adalah adil kepada semua pihak yang terlibat termasuk pengguna yang selama ini menanggung cukai barangan.

“Sekarang ini pekerja perlu membayar cukai pendapatan. Pengguna bayar cukai barangan, tetapi peniaga, bagaimana? Dalam sistem akan datang, GST adil kepada semua.”

“Peniaga perlu patuh dan bayar cukai korporat,” jelasnya.

Sebelum ini Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan, kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan GST yang akan berkuatkuasa mulai 1 April depan seperti yang telah diluluskan di Parlimen.

Ia berkata, pelaksanaan GST dilihat sebagai satu langkah konsolidasi fiskan yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara dan sebarang penangguhan pelaksanaan GST akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia.- sumber Astro Awani

Penulis Surat Layang Sila Tampil Ke Depan

BEBERAPA Ketua Cawangan UMNO yang sedang bermesyuarat di seluruh negara, dilaporkan telah menerima surat layang yang di dalamnya terkandung pelbagai maklumat palsu lagi mengelirukan ahli akar umbi UMNO tentang 1MDB.

Isi kandungan surat-surat layang terbabit pula, saling tak tumpah dengan beberapa laporan yang pernah disiarkan di portal pro Pakatan Rakyat cuma diolah sedikit sebanyak untuk disesuaikan dengan cara surat, termasuk teknik penceritaan yang lebih banyak menimbulkan persepsi dari fakta serta kaitannya dengan 1MDB.

Antaranya dakwaan mengenai penglibatan peniaga Jho Low, penglibatan 1MDB dalam bidang penjanaan tenaga dan sebagainya. Semua ini sebenarnya dah dijawab oleh 1MDB, kerajaan dan lain-lain yang berkaitan (termasuk Jho Low sendiri), tapi bukan semua orang yang ingat pun, sangka mereka mungkin isu baru.

Niatnya hantar surat layang ni pun takdak lain selain nak kelirukan orang, bukan peduli mana pasal 1MDB dan negara.

Sebab itu yang ada dalam hanya dakwaan, bukan jawapan yang telah diberikan.

Ramai orang tahu tentang itu, cuma yang penting nak sebut disini, dengan semua penjelasan di atas, selamatlah untuk dikatakan bahawa Pakatan Rakyatlah dalang disebalik penyebaran surat layang ini, takdak orang lain dah.

Jadi ketua-ketua cawangan UMNO yang berkenaan, harap tidaklah terpedaya dengan dakyah yang seperti ini, Dapatkanlah penjelasan dari sumber yang sahih seperti Bahagian dimana cawangan berkenaan terletak.

Niat Pakatan guna teknik kuno ni begitu jelas sekali, dia nak jatuhkan UMNO dari dalam sebab sejarah membuktikan tidak ada siapa boleh menjatuhkan UMNO melainkan ahli-ahli UMNO sendiri.

Pakatan pun tak boleh, sekuat mana punlah mereka seperti di dakwa. Dengan Anwar diluar pun gagal, Anwar di dalam apatah lagi.

Tapi dalam masa yang sama, kita mahu siapa pun dalang di sebalik penulisan dan penyebar surat layang ni, tampil ke depan dengan bukti bagi menyokong dakwaan dalam surat layang yang berkenaan.

SPRM, polis dan Jabatan Audit Negara yang sedang menjalankan audit ke atas 1MDB (seperti diarahkan Perdana Menteri sendir), pasti mahu semua bukti berkenaan untuk membantu melicinkan tugas mereka dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Main cara pengecut macam ini boleh buktikan apa? Bukan boleh bawa ke Mahkamah pun, mudah saja kira-kiranya.- MYKMU

Inilah pemimpin PAS yang tolak Hudud

Ahli Jawatankuasa PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menolak hudud dan tidak akan dilaksanakan dilaksanakan di Perak jika Pakatan Rakyat (PR) kembali memerintah negeri itu.

Nizar yang juga Pengerusi PR Perak berkata keputusan itu diambil melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak, Sabtu lalu, bagi menjaga keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Menteri Besar Perak dilaporkan Sinar Harian berkata sekiranya PR membentuk kerajaan negeri baharu, pimpinan itu akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi keharmonian kaum dan agama.

“Majlis Pimpinan PR menyatakan komitmen untuk membentuk kerajaan negeri yang berpaksikan kepada prinsip telus, adil, amanah, berkebajikan dan berwawasan.

“Semua dasar yang ingin dilaksanakan ini wajib mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti iaitu Pas, DAP dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Kenyataan bersama itu turut dipersetujui Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR Perak, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid.

Nizar berkata, dalam mesyuarat itu juga, mereka bersetuju Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015) yang diluluskan Sidang Dewan Kelantan yang membawa pelaksanaan hukum hudud, adalah di luar Dasar Bersama PR dan wajar dibincangkan.

Menurutnya, Majlis Presiden PR perlu bermesyuarat dengan kadar segera demi mencapai kata sepakat.

“Ini termasuklah berkaitan kelulusan rang undang-undang itu yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, kita perlu mengeluarkan kenyataan bersama secepat mungkin,” katanya.

Namun, kenyataan Nizar itu disanggah oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

Razman dilaporkan Harakahdaily berkata pendirian PAS Perak selari dengan PAS Pusat berkenaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan minggu lalu.

Menurutnya, pendirian tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan secara teliti dalam mesyuarat Lajnah Politik PAS negeri yang turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Saya ingin menegaskan bahawa pendirian PAS Perak mengenai Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan adalah selari dengan keputusan dan pendirian PAS Pusat.

“PAS Perak juga akan meningkatkan usaha penerangan mengenai isu ini kepada rakyat melalui Pakatan Rakyat Perak,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily hari ini.- AIDC

Akhirnya DAP Sarawak terpaksa undur

DAP Sarawak hari ini mengeluarkan kenyataan tegas untuk keluar dari gabungan Pakatan Rakyat (PR), berikutan keputusan kerajaan PAS Kelantan meluluskan undang-undang Hudud di negeri itu.

Setelah sekian lama bermain tarik tali dengan parti PAS, akhirnya DAP Sarawak pimpinan Chong Chieng Jen terpaksa mengalah dan berundur dari sebarang kerjasama dengan Pakatan Rakyat di Sarawak.

Menurut sumber DAP, Chong Chieng Jen selaku pengerusi DAP negeri Sarawak berhak untuk memutuskan perkara tersebut tanpa terlebih merujuk kepada pimpinan pusat kerana DAP Sarawak memiliki autonomi untuk berbuat demikian.

Lagipun DAP memang sejak awal dan tanpa berselindung menentang hukum hudud.

Berbeza dengan PKR yang sering berdalih-dalih sepertimana sikap Ketua Umum parti itu.

Justeru yang paling ditunggu-tunggu ketika ini ialah pendirian Baru Bian selaku ketua PKR Sarawak. Apakah Baru Bian akan memutuskan hubungan dengan PAS Sarawak?

Jika selama ini, PKR adalah parti politik yang sering bersunguh-sunguh untuk menyuntik isu agama dan kaum dalam politik Sarawak. Sekarang adalah waktunya untuk Baru Bian menyatakan pendirian sebenar mereka secara terbuka. Adakah Baru Bian akan mengutuk hukum Hudud di Kelantan, atau sekadar berdiam diri?

Mungkin kah PKR Sarawak dan Baru Bian akan mengalah dan berundur dari PR?

Surat Hadi ke Parlimen, Hudud akan dibentang

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan sudah menghantar surat ke Parlimen supaya rang undang-undang persendirian Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud dapat dibentang pada sidang akan datang.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang kemungkinan besar akan membentang sendiri undang-undang hudud yang ditentang DAP dan tidak dipersetujui PKR pada sidang Parlimen pada Mei depan.

Beliau dikatakan menghantar surat kepada Parlimen semalam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (pindaan 2015) atau hukum hudud.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional yang jadi pembangkang di DUN Kelantan turut menyokongnya.

Sebelum ini, PAS bercadang membentangkan undang-undang itu pada persidangan yang sedang berlangsung sekarang.

Bagaimanapun semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan, berdasarkan aturan mesyuarat terkini, enakmen yang lebih dikenali sebagai undang-undang hudud itu tiada dalam senarai.

“Mungkin tidak sempat sebab dalam aturan jadual saya sudah penuh. Sidang Dewan tamat pada 9 April, macam manapun kita kena tengok senarai, dalam senarai tiada,” katanya kepada media di Parlimen.

Pembentangan itu kelak dijangka mengeruhkan lagi hubungan PAS dengan DAP.

Sebagai tindakan awal, Pemuda DAP sudah bercadang membekukan segala bentuk kerjasama dengan Pemuda PAS di semua peringkat selepas parti itu berkeras meneruskan hudud di Kelantan.- BNBBC

Suspek "Road Bully" Jalan Bako Ditangkap


Kurang dari 12 jam kes "road bully" di Jalan Demak di sini berlaku dimana seorang lelaki dipukul tanpa belas kasihan oleh dua suspek, polis berjaya memberkas mereka yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching SUPT Entusa Imam mengesahkan penangkapan berkata, bertindak diatas maklumat, sepasukan anggota polis dari Cawangan D7 Ibu Pejabat Daerah Kuching dengan bantuan MPV telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Bako lebih kurang jam 2 pagi. Baca selengkapnya di KLIK

Beza Pesawat Peribadi dan Pesawat Rasmi Kerajaan

PORTAL pro pembangkang dan Rafizi Ramli cuba mengelirukan pemikiran rakyat dengan mendakwa jet VVIP jenis ACJ320 yang baru diperoleh kerajaan adalah sebuah pesawat peribadi.

Ini tak betul sebab tidak ada istilah pesawat peribadi bagi perolehan yang dibuat kerajaan, sebaliknya pesawat rasmi.

Penulis tak rasa jutawan muda lulusan luar negeri seperti Rafizi terlalu bodoh nak bezakan antara pesawat rasmi kerajaan dengan pesawat peribadi. Penulis yakin dia tahu sebab Anwar kerap guna pesawat peribadi untuk berkempen di Sabah dan Sarawak sebelum PRU13 dulu.

Yang Anwar guna tu pesawat peribadi, yang diperoleh kerajaan untuk ganti BBJ737-700NG ni pesawat rasmi.

Lainlah kalau Rafizi boleh tunjuk geran atau apa bentuk dokumen pemilikan pesawat yang menunjukkan pesawat yang diperolehi itu didaftar atas nama indvidu? Ada ke?

Kalau takde, bukanlah pesawat peribadi namanya, tapi pesawat rasmi.

Dalam masa yang sama, orang yang hantar Rafizi ke parlimen patut berfikir banyak kali jenis manusia apa yang mereka pilih untuk menjadi wakil rakyat ni? Sepanjang jadi ahli parlimen, satu isu Pandan pun tak ada, sebaliknya Rafizi lebih banyak cakap pasal perkara-perkara yang tidak ada kaitan terus dengan pengundi Pandan.

Seolah-olah penduduk Pandan ni sudah cukup lengkap segalanya dan tidak ada masalah langsung, tapi ada ke kawasan parlimen yang macam itu? Kalau ada, Pandan tak perlu ada wakil rakyat sebab serba serbinya dah cukup, tak perlu buat apa-apa lagi dah.- MYKMU

Pelaburan 1MDB Dengan PetroSaudi Untung USD 488 juta

Dakwaan bahawa urusniaga 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan syarikat pelaburan antarabangsa PetroSaudi sebagai satu urusniaga yang mencurigakan dan penuh korupsi sangat tidak masuk akal.

Ini kerana urusniaga terbabit telah memberi keuntungan kepada 1MDB sebanyak USD 488 juta atau lebih kurang RM 1.3 Bilion.

Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin tidak terbaca maklumat mengenai urusniaga ini apabila menulis dalam blognya semalam mempertikaikan kredebiliti Petrosaudi.

Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dll. Apa buktinya? Benarkah JV dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara 1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi, tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.

Tuduhan Tun Mahathir bahawa tidak jelas apa yang terjadi kepada wang pelaburan dalam Petrosaudi agak kurang tepat. Ini kerana maklumat mengenai pelaburan ini telah diumumkan oleh 1MDB sejak menjalankan kerjasama tersebut. Malah pada tahun lalu 1MDB mengumumkan penarikan balik pelaburannya dalam Petrosaudi dan menuntut seluruh pelaburannya.

Pada Januari 2015, 1MDB mengumumkan bahawa mereka telah mendapat semua pelaburan mereka dalam PetroSaudi beserta dengan keuntungan sebanyak USD 488 juta.

Pada 2009, 1MDB dan sebuah syarikat Arab Saudi telah menjalin usahasama untuk memudahkan kerjasama ekonomi jangka panjang di antara Malaysia dan Arab Saudi.

Sebagai sebahagian daripada usahasama ini, kami membuat pelaburan ke dalam sebuah syarikat usahasama (joint fund) dengan syarikat tersebut, yang ditubuhkan untuk membuat pelaburan ke atas projek-projek yang akan menjana manfaat kewangan dan strategik untuk kedua-dua negara.

Walau bagaimanapun, disebabkan pelbagai faktor, kedua-dua pihak akhirnya memutuskan untuk tidak meneruskan rancangan ini. Kesan daripada itu, pelaburan kami dalam syarikat usahasama tersebut telah ditukarkan kepada instrumen pendapatan tetap dalam bentuk nota Murabaha, yang pada dasarnya adalah sebuah pinjaman, dengan kadar faedah tahunan sebanyak 8.75%. Pinjaman ini telah dibayar sepenuhnya, pada jumlah AS$2.318 bilion dengan keuntungan sebanyak AS$488 juta, pada 2013.

Penjelasan ini telah ada dalam laman web 1MDB sejak Januari 2015 dan juga dipaparkan dalam pelbagai media massa. Justeru tidak timbul 1MDB menjalankan urusniaga rahsia atau perniagaan dengan Petrosaudi meragukan.- MYKMU

Hanipa kritik Hadi dan Haron Din

Penentangan atau kritikan terbuka terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelang pemilih pucuk pimpinan atau Muktamar PAS semakin ketara.

Terbaru, ahli jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin menegur pihak yang tidak berani menegur kelemahan Presiden PAS itu sebaliknya hanya mencadangkan kesempurnaan Hadi.

Menurut Ahli Parlimen Sepang itu, tindakan itu hanya akan membawa kerosakan kepada parti.

Tegasnya, pimpinan perlu berani menyatakan masalah yang sedang dihadapi parti bagi membolehkan ia diselesaikan.

“Saya sering tegur dalam mesyuarat, mereka yang rosakkan presiden PAS ialah mereka yang menyokong presiden bawa rebah,” katanya pada sebuah forum bertajuk “Ke mana PAS tanpa Tuan Guru Nik Aziz”, anjuran portal Malaysiakini di Petaling Jaya, malam tadi.

“Mereka tidak mahu menyatakan presiden ada kelemahan, berasakan presiden semuanya sempurna. Inilah golongan yang merosakkan PAS. Dia tahu presiden lemah tetapi tak menyuarakannya,” lapor portal Malaysian Insider berkenaan.

Hanipa berkata apa yang berlaku kepada Hadi kini mirip sebagaimana yang digambarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menerajui kerajaan.

Katanya, Dr Mahathir pernah menceritakan segala apa yang dilakukannya dianggap betul kerana tiada siapa yang berani menegur.

“Beliau juga menceritakan bagaimana dalam sebuah kerajaan, apabila raja terlampau takut ditegur, suatu hari raja berbogel, orang boleh kata cantik, padahal raja berbogel,” katanya.

Hanipa yang juga seorang peguam itu turut mengulas kenyataan mursyidul am PAS yang baru Datuk Haron Din yang menggesa Hadi dikekalkan sebagai presiden.

Katanya, kenyataan Haron itu berbeza dengan pendirian yang dipegang selama ini oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Ini bagi saya tidak sepatutnya keluar daripada mulut mursyidul am yang menggantikan Nik Aziz. Saya bukan tak hormat Haron tetapi kita perlu hormat mereka yang mendraf perlembagaan PAS.

“Jangan kita menganggap perwakilan seolah-olah tiada nilai dalam PAS sehingga terus dihimpit mesti pilih (calon tertentu). Maknanya kita tak hormat perlembagaan PAS sedangkan kewujudan mursyidul am pun daripada perlembagaan PAS,” katanya.

Semalam, Haron menyifatkan belum tiba masanya untuk menukar presiden PAS dan ahli parti itu perlu taat kepada Hadi.

“Riak dan maklum balas daripada masyarakat, sejauh yang saya dapat rasakan adalah kebanyakan ahli PAS rasa belum perlu tukar presiden.

“PAS Kota Baru sahaja yang suarakan (tentang penukaran itu),” katanya.

Hanipa berkata ulama PAS pada hari ini walaupun arif dalam soal hukum-hakam agama tetapi mereka gagal memahami landskap politik semasa.

Katanya, golongan berkenaan hidup dalam dunia yang mereka bina sendiri dan terkepung dalam ketakutan serta kegelisahan.- BNBBC

Punca Petisyen Anwar Dipadam 'White House'

Satu petisyen menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, yang tersiar melalui platform 'We the People' dalam laman sesawang White House, dikeluarkan pentadbirnya kerana dikatakan melanggar peraturan ditetapkan.

"Petisyen yang anda cuba akses ini telah dikeluarkan daripada laman ini mengikut Dasar Moderasi kami kerana ia melanggar Terma Penyertaan kami," kata satu mesej dalam laman sesawang itu.

Ia bagaimanapun tidak memberi sebab khusus petisyen itu dikeluarkan.

Ketua Pembangkang itu kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana meliwat.

Mengikut terma penyertaan, seseorang itu mestilah berumur 13 tahun atau lebih untuk membuka akaun dan/atau menandatangani sesuatu petisyen, atau untuk menyertai 'We the People'.

Petisyen 'We the People' mestilah dibuat individu yang berinteraksi secara terus dengan WhiteHouse.gov, bukan melalui laman sesawang atau perkhidmatan pihak ketiga.

Turut disyaratkan ialah maklumat akaun tidak mengandungi ancaman melakukan keganasan haram; memasukkan bahan lucah, kesat atau memberahikan; kenyataan memfitnah atau palsu; dan istilah yang lazimnya difahami mengandungi maksud tidak senonoh atau kesat atau menghina.

Turut dilarang ialah maklumat yang menceroboh privasi seseorang individu dan maklumat, yang sekiranya diterbitkan, akan melanggar undang-undang jenayah atau menimbulkan liabiliti sivil.

"White House boleh melumpuhkan akaun, membuang tandatangan dan mengeluarkan petisyen yang diwujudkan atau ditandatangani oleh pengguna yang ia mempunyai sebab munsabah untuk mempercayai tidak mematuhi peraturan di atas.

"White House juga boleh menyekat akses daripada alamat IP, yang ia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai menggunakan sistem automasi atau proses pukal  bagi mewujudkan akaun pengguna atau tandatangan petisyen," kata laman sesawang itu.- Astro Awani

Akhirnya Haji Hadi dicabar secara terbuka

PAS Kota Bharu menjelaskan mereka mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana presiden PAS itu mengalami masalah kesihatan.

“Saya yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menerima pencalonan selaku presiden untuk sesi baru atas keuzuran belia dan itu keyakinan peribadi saya.

“(Sebelum ini) dia masuk hospital di Istanbul, dia masuk Institut Jantung Negara (IJN), faktor tahap kesihatan dia. Dia (Hadi) sudah 37 tahun terlibat dengan PAS,” kata ketuanya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini.

Hadi November lalu mengakui beliau mengalami masalah kesihatan dan badannya semakin susut.

Malam semalam, nama Tuan Ibrahim diumumkan akan menjadi pencabar bagi jawatan Presiden PAS dalam pemilihan akan datang.

Wan Rahim menambah, Tuan Ibrahim adalah individu yang akan membuatkan Hadi selesa memandangkan beliau merupakan anak didik Hadi dan dekat dengannya.

“Saya yakin dia tak akan menerima pencalonan jadi bila saya kemukakan nama Tuan Ibrahim, dia selesa kerana dia sendiri yang tarbiah, dia didik dan dia yakin anak buah dia sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, nama kontroversi seperti Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu tidak dicalonkan demi perpecahan parti seperti berlaku pada tahun 1982.

“Kita tak kemukakan tokoh kontroversi seperti Husam dan Mat Sabu , kita kemukakan (Tuan) Ibrahim.

“Bagi saya perpaduan parti perlu dijaga, keutuhan ahli kita tidak mampu untuk menghadapi perpecahan parti seperti tahun 1982,” katanya.

Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.- Mkini

Pemimpin PAS cedera dipukul

Pemimpin PAS Pusat dari kelompok yang digelar ‘Anwarinas’ Dr Dzulkefly Ahmad dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di depan rumahnya dekat Shah Alam awal pagi Khamis.

Berikutan kejadian itu, Dr Dzulkifli itu mengalami pecah di bibir dan bengkak di kepalanya.

Laporan portal The Malaysian Insider menyebut bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar mengesahkan kejadian itu

“Salah seorang daripada mereka sempat berkata ‘kenapa kurang ajar’ ketika mereka memukul Dr Dzul,” kata Kamarudin.

14 Februari lalu, Kereta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dibakar di luar rumahnya dekat Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, sebuah kereta lalu dan individu tidak dikenali cuba membakar kereta itu, namun ia disedari pengawal bertugas yang membunyikan hon motosikalnya.- BNBBC

Tiada Siapa Berkuasa Izin Anwar Hadir Parlimen

Tiada sesiapa mempunyai kuasa mengarahkan pihak penjara membenarkan Anwar Ibrahim menghadirkan diri ke sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini kata bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman.

Abu Talib dilaporkan The Malaysian Insider berkata speaker Dewan Rakyat atau menteri dalam negeri tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang untuk mengarahkan kehadiran Anwar ke Parlimen.

“Saya tidak rasa undang-undang dipinda untuk membolehkan speaker dan menteri mengarahkan ahli Parlimen yang didapati bersalah menghadiri prosiding,” katanya.

Abu Talib, yang merupakan peguam negara selama 13 tahun sehingga 1993 berkata, Anwar dijatuhkan hukuman oleh mahkamah selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

“Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun,” katanya.

Tambahnya, speaker hanya berkuasa semasa sidang dan kuasanya diperuntukkan dalam Perlembagaan dan perintah tetap.

“Ia menjangkaui kuasa speaker mengarahkan jabatan penjara membenarkan Anwar, yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh menghadiri sidang harian Parlimen,” katanya.

Sementara itu, pengamal undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata Anwar tidak ada asas untuk diberi keizinan menghadiri persidangan Parlimen dan harus berada di penjara seperti yang putuskan oleh Mahkamah Persekutuan, yang mana keputusan itu wujud terlebih dahulu berbanding petisyen permohonan pengampunan Agong yang masih belum ada jawapan.

“Lagipun semasa mahkamah memutuskan hukuman ke atas Anwar, mahkamah tidak memaklumkan bahawa beliau boleh ke Parlimen kerana status Ahli Parlimen,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Pengamal undang-undang itu menjelaskan, tidak ada kemusykilan tentang status Anwar sebagai Ahli Parlimen walaupun Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak mengisytiharkan kerusi itu kosong selagi permohonan pengampunan tidak diputuskan lagi.

Dari sudut pandangan Pandikar, memang Anwar belum dimuktamadkan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan boleh berada di Parlimen.

Tetapi Anwar berada di Penjara Sungai Buloh dan tidak boleh dibawa ke mana-mana atas perintah Mahkamah Persekutuan.

“Kita jangan lupa Badan Kehakiman adalah sistem dan struktur utama organisasi Kerajaan Malaysia, selain perundangan dan badan eksekutif.

“Malah, dari aspek keutamaan pula mahkamah sudah menetapkan keputusan memerintah Anwar ke penjara terlebih dahulu, petisyen permohonan pengampunan dibuat kemudian. Jadi keputusan mahkamah mesti diberi prioriti kerana ia telah dimuktamadkan.

“Dan, dari segi undang-undang pun, Anwar memang sudah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Salleh menambah, dalam erti kata sebenar, Anwar sudah disabit kesalahan dan akan kekal di Sungai Buloh. Beliau hanya boleh keluar dengan izin mahkamah.

“Saya tidak tahu pula jika Penjara Sungai Buloh mempunyai undang-undang lain yang membolehkan Anwar keluar ke Parlimen. Tindakan itu (jika dibolehkan) mengenepikan keputusan dan perintah mahkamah,” ujar beliau. - AIDC

Azmin digelar "Si Kuda Kepang Anwar"

Ramai masyarakat dan pemimpin Sarawak meluat dengan karenah Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang menghina Ketua Menteri Sarawak Datuk Haji Adenan Satem yang didakwanya memimpin parti "PBB yang nazak" baru-baru ini.

Salah seorang pemimpin tersebut yang sempat dihubungi Sarawakiana untuk mendapatkan respon kepada kenyataan Azmin adalah Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdulah Haji Saidol.

"Perkataan "Nazak" selalunya bermakna Ajal seseorang dah dekat," kecam beliau.

"Azmin kata Parti PBB dah "Nazak" ... sebaliknya rakan mereka dalam Pakatan iaitu DAP Sarawak pula menyatakan keinginan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak demi kepentingan rakyat."

"Itulah contoh tahap pemikiran Menteri Besar Selangor sekarang, sebab itu kita biarkan dia masuk dengan mudah ke negeri ini."

"Supaya semua orang Sarawak dapat melihat sendiri betapa mengarut dan merapunya Azmin si kuda kepang Anwar ini yang dilantik menjadi Menteri Besar setelah menjatuh orangnya sendiri," kata Abdullah dengan sinis. Baca selanjutnya KLIK

PENAFIAN

Anda dinasihatkan agar tidak mengakses atau menggunakan sebarang maklumat di MELANAU BLOGGER™ jika terdapat ketidaksesuaian. Sila tinggalkan laman ini dengan serta-merta.

Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak atau parti politik.

Admin blog MELANAU BLOGGER™ tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat atau media yang terdapat dalam blog ini.

(since august 2009)


PERHATIAN

Kepada rakan-rakan blogger, jika link blog anda belum dipautkan atau telah tericir, sila tinggalkan pesan diruangan komen, agar saya dapat memautkan link rakan-rakan.
terima kasih.

review www.melanaublogger.com on alexa.com