Pemimpin ini malu sebagai rakyat Malaysia


Violet Yong (DAP Sarawak) semalam menyatakan bahawa beliau malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia sewaktu pergi ke luar negara, malah terpaksa mengaku sebagai rakyat Singapura akibat isu yang melanda Malaysia sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak untuk kawasan Pending itu turut berkata isu 1MDB berkaitan derma RM2.6billion ke akaun Perdana Menteri banyak menghabiskan wang rakyat.

Berucap semasa ceramah 'Kopitiam Talk' anjuran DAP Sarawak semalam, Violet turut menyatakan bahawa Ketua Menteri Sarawak tidak menepati janji berkenaan isu penjualan tanah seluas 267 ekar di Batu Kawa walaupun YB Chong telah mempunyai pembeli dengan harga yang lebih mahal.

"Adenan masih dikawal oleh TYT Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak", tegas beliau lagi.

Menurut Violet, DAP menyokong usaha Ketua Menteri Sarawak memansuhkan tol jambatan Lanang tetapi isu pendidikan masyarakat Cina (UEC), pengisian jawatan kerajaan tanpa mengira bangsa dan isu tender terbuka masih dilakukan separuh jalan.

Violet turut menjangka pilihanraya negeri Sarawak akan diadakan dalam tempoh 7 bulan akan datang.

"Penambahan dari 71 ke 82 kerusi pilihanraya terutama untuk kawasan pedalaman agak sukar untuk DAP kerana saluran media yang terhad dan dikawal oleh kerajaan BN", tambah beliau lagi.

YB Violet Yong turut menyeru orang ramai agar sama-sama menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 akan datang.

"Kita perlu pertahan dan kembalikan kuasa autonomi Sarawak seperti hak kutipan cukai 50%, jawatan doktor perubatan, polis dan guru yang mana masih dibawah kuasa kerajaan persekutuan", tegas Violet.- SarawakLIVE

Berhenti Memfitnah Saya - Fadillah

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusuf menegaskan beliau tidak pernah mempromosi UMNO untuk masuk ke Sarawak.

"Hentikan fitnah siber kononnya saya mempromosi UMNO ke Sarawak. Saya dan Pemuda PBB tidak akan pernah berbuat demikian."

"Seperti ditegaskan pucuk kepimpinan Pusat dan Negeri, UMNO tidak akan masuk ke Sarawak," tegasnya lagi.

Fadillah, yang juga merupakan Menteri Kerja Raya berkata demikian selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi Pemuda PBB di Miri semalam.

Sejak kebelakangan ini, terdapat poster palsu yang tersebar di media sosial yang kononnya Fadillah sedang dalam usaha untuk membawa UMNO ke Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem (Presiden PBB) juga telah acap kali menafikan yang UMNO akan masuk ke Sarawak.

Fitnah tersebut dilihat sebagai usaha pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan PBB serta mengganggu gugat hubungan rapat PBB dan UMNO. - Sarawakiana

ARUL KANDA YAKIN 1MDB MAMPU LANGSAI HUTANG DALAM 6 BULAN

KUALA LUMPUR:  Biarpun ekonomi negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk penyusutan nilai ringgit, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy tetap yakin syarikat pelaburan negara itu mampu melangsaikan hutangnya dalam tempoh enam bulan.

Keyakinan itu adalah berdasarkan aset-aset miliknya yang boleh dilupuskan, antara lain, RM16 bilion hingga RM20 bilion milik syarikat subsidari 1MBD, Edra Global Energy Bhd; RM16 bilion dalam International Petroleum Investment Company (IPIC), dan RM11 bilion hingga RM12 bilion dalam projek hab ekonomi Bandar Malaysia di ibu negara.

"Saya yakin tempoh masa yang diberikan Perdana Menteri untuk 1MDB melangsaikan hutang bersesuaian dengan keadaan masa syarikat dan pasaran semasa," jelas beliau dalam satu program temu bual 'Soal Jawab' di TV3 lewat Rabu.

1MDB, katanya, mempunyai aset yang kukuh dan syarikat itu juga mempunyai pelabur-pelabur tempatan dan luar negara yang berminat dengan jangka masa panjang pelaburan dalam 1MDB.

"Kira-kira 40 syarikat terkemuka daripada China, Australia dan Timur Tengah telah menunjuk minat dalam pembangunan Bandar Malaysia," kata Arul Kanda.

Jelasnya lagi, pelan rasionalisasi hutang 1MDB tidak akan terjejas disebabkan oleh penurunan nilai ringgit kerana syarikat itu memiliki aset dalam dolar Amerika Syarikat (AS) yang akan membolehkan ia membayar hutang luarnya dalam nilai dolar AS.

"Kita mempunyai syarikat janakuasa terbesar di negara asing seperti di Bangladesh dan Mesir. Kami juga mempunyai aset janakuasa di Abu Dhabi dan Pakistan dengan semua aset itu dalam dolar Amerika. Jadi kita ada kelebihan iaitu aliran tunai dalam dolar Amerika yang mempunyai nilai sama jika dilupuskan," katanya.

Ditanya adakah sentimen semasa akan menjejaskan keyakinan pelabur, Arul Kanda menjelaskan masalah tohmahan dan isu politik sememangnya merisaukan pelabur namun keadaan ekonomi juga penting dalam melaksanakan pelan-pelan rasionalisasi bagi mengurangkan beban hutang 1MDB.

"Aset 1MDB pada asasnya adalah kukuh dan kekukuhan itu menyakinkan pelabur. Kalau lihat ahli perniagaan dan pelabur, mereka fokus terhadap asas dan aset. Contohnya, Edra aliran tunainya lebih RM5 bilion setahun melalui penjanaan kuasa dan penjualan tenaga. Itu adalah aliran tunai yang dilihat jangka panjang sebagai mempunyai nilai," tambahnya.

Justeru cabaran utama 1MDB ketika ini adalah untuk menstabilkan kewangan syarikat dengan menyelesaikan hutangnya dan pada masa sama berharap dapat menjana pendapatan dan operasi serta keuntungan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak berkata beban hutang syarikat 1MDB mampu dikurangkan dalam tempoh lima bulan akan datang secara berperingkat.

Menurut Perdana Menteri, isu hutang 1MDB telah disensasikan di media dan media sosial sehinggakan ia menjadi isu panas biarpun tiada kerugian yang dicatat syarikat pelaburan negara itu. - Astro Awani.

PENAFIAN

Anda dinasihatkan agar tidak mengakses atau menggunakan sebarang maklumat di MELANAU BLOGGER™ jika terdapat ketidaksesuaian. Sila tinggalkan laman ini dengan serta-merta.

Semua catatan di blog ini hanyalah pandangan peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak atau parti politik.

Admin blog MELANAU BLOGGER™ tidak bertanggungjawab kepada anda, atau sesiapa sahaja yang membuat sebarang tuntutan bagi kehilangan, kemusnahan (secara langsung atau tidak langsung), kos, liabiliti atau gantirugi terhadap ketidaktepatan, hakcipta serta kesilapan maklumat atau media yang terdapat dalam blog ini.

(since august 2009)


PERHATIAN

Kepada rakan-rakan blogger, jika link blog anda belum dipautkan atau telah tericir, sila tinggalkan pesan diruangan komen, agar saya dapat memautkan link rakan-rakan.
terima kasih.

review www.melanaublogger.com on alexa.com